SETIAP manusia dikurniakan Allah, hati.
Hati adalah seketul darah yang berperanan mengawal pergerakan jasad manusia. Jika hati seseorang itu bersih (daripada kekotoran dosa) maka jasadnya juga turut melakukan kebaikan, sebaliknya jika hati itu penuh dengan kekotoran dosa, maka ia akan mendorong seseorang itu melakukan perkara yang ditegah agama.
Keadaan hati, sama ada bersih atau kotor mempunyai pertalian rapat dengan keimanan dan ketakwaan individu.
Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir bahawa Rasulullah mengingatkan kepada umatnya mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud:
"Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati." (Riwayat Bukhari – 2/49)
Berdasarkan hadis itu, dapatlah kita gambarkan hati manusia yang rosak itu seumpama sebuah komputer yang mempunyai virus. Ia mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah juga hati, jika ia penuh dengan kekotoran dosa, maka seluruh badan akan rosak.
Di dalam al-Quran ada ayat yang menyentuh mengenai hati, tetapi melalui pelbagai istilah. Melalui ayat itu juga diterangkan hati dapat dijaga dan diubati hanya dengan bertakwa atau beriman kepada Allah .
Tanda takwa atau takut kepada Allah itu dapat dilihat dalam 7 perkara :
- Pertama, seseorang itu menjaga lidahnya daripada melakukan fitnah, mencela, mencaci, mengumpat dan sebagainya;
- Kedua, seseorang itu menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api yang memakan kayu;
- Ketiga, memelihara mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati. Sebab itu janganlah melihat perkara terlarang demi untuk mendidik hati;
- Keempat, menjaga perut agar tidak diisi dengan makanan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi makanan yang haram berada di dalam tubuh kita.
- Kelima, menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan haram.
- Keenam, Begitu juga kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah ;
- Ketujuh, ketaatan dapat dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta takut kepada sifat riak dan munafik.
Sesungguhnya hati dan hubungan kita dengan ketaatan terhadap Allah amat rapat. Sebab itu kita hendakah sentiasa berdoa meminta-Nya memelihara hati kita agar sentiasa taat kepada-Nya.
Hati amat penting, kerana apabila rosak ia menggambarkan pegangan agama kita juga turut rosak. Jika seseorang bersungguh-sungguh melaksanakan saranan memelihara anggota di atas, dia termasuk di dalam golongan orang muttaqin yang dijanjikan Allah dengan syurga.
Hati yang bersih dan luhur membolehkan seseorang menangkis segala godaan syaitan. Sebenarnya manusia menghadapi dua bisikan, iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat.
Bisikan syaitan menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah. Seterusnya lahirlah manusia kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, pemfitnah dan sebagainya.
Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur ketakwaan, maka dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah dan sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)." (Surah al-A'raf: 200-201).
Allah mengangkat Nabi sebagai seorang yang maksum atau terpelihara daripada dosa selepas hati Baginda dibersihkan. Berbanding manusia biasa, kita hanya mampu berdoa kepada Allah , tetapi keimanan kepada-Nya tidak dapat dijamin kerana hati tidak dapat dibersihkan sepenuhnya dan sentiasa digoda syaitan.
Allah memilih Nabi Muhammad saw untuk membawa urusanNya. Maka semestinya utusan Allah mempunyai sifat istimewa, antaranya hati yang bersih.
Dengan hatinya yang bersih itu, orang kafir dan Quraisy tertawan. Kesabaran, keikhlasan dan kemuliaan akhlaknya berpunca daripada hati Baginda yang bersih. Malah orang kafir sendiri mengakui kemuliaan hati Baginda.
Umar Al-Khattab yang dikenali sebagai seorang yang keras hati dapat dilembutkan hatinya bukan dengan kekerasan, tetapi dengan mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran.