Friday, March 11, 2011

Zikir terapi hati paling berkesan

HATI. Apakah yang dikatakan hati itu? Hati sebenarnya segumpal darah yang terdapat di dalam tubuh kita. Dikatakan jika baik darah ini, baiklah keseluruhan anggota tubuh manusia yang lain. Apa yang hendak kita bicarakan di sini bukannya hati dalam maksud segumpal darah itu , tetapi mari kita fokuskan kepada hati nurani halus yang menggerakkan manusia berasa gembira, senang dan sebagainya.

Hati nurani inilah yang berlingkar di dalam segumpal darah tadi. Hati adalah anggota yang paling mulia dan anugerah paling bernilai kurnia Allah SWT kepada kita. Dengan hati inilah kita dapat mengenal Allah lantas mendorong kita beramal soleh dan berusaha keras menuju kepada-Nya. “Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu terdapat satu ketul darah. Apabila baik darah itu, baiklah seluruh anggota jasad. Sesungguhnya darah itu ialah hati.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagaimanapun, hati ini jika tidak dijaga dengan baik ia akan rosak, sakit dan boleh mati begitu saja. Allah berfirman: “Berbahagialah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya.’ (Surah Asy-Syam : 9-10). Maksudnya, mukmin yang bahagia itu adalah orang yang hatinya bersih suci.

Dengan kata lain hatinya bersikap mahmudah, sebaliknya orang yang rugi dan tentu sekali mendapat kutukan Allah adalah orang yang mengotorinya. Hati yang kotor dengan sikap mazmumah inilah yang akan rugi. Hati yang sihat adalah hati yang akan berjaya menemukan pemiliknya, Allah Taala.



Hati yang sihat ialah hati yang tenteram kerana sentiasa ingat Tuhannya. Jadi, kita mesti memiliki hati yang sebegini kerana jaminan Allah, orang hatinya sihat akan bahagia di dunia dan sejahtera di akhirat. Apa guna mempunyai kekuatan fizikal yang perkasa, tetapi hati berkarat noda.


Allah tidak pernah menilai seseorang dari segi rupa paras dan darjat keturunan, tetapi melihat apa yang ada dalam hati kita. Ini sebagaimana yang dikatakan Nabi Muhammad s.a.w:“ Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu, sebaliknya Ia melihat hati serta amalan kamu.’ (Hadis riwayat Muslim)

Apakah cara kita nak menggilap hati supaya tidak berkarat dan menjadi kering gersang? Dalam menjawab persoalan ini, sebenarnya hati kita perlu berjumpa dengan ‘mufti hati’ supaya dapat memberi fatwa dan pendekatan terbaik agar hati kita sentiasa dalam keadaan bersih suci. Umpama kita berjumpa seorang doktor apabila fizikal kita sakit.

Siapakah mufti hati itu? Mufti hati yang saya maksudkan di sini bukannya orang, tetapi kaedah yang kita gunakan dan jadikan amalan ke arah menjadikan hati kita sihat. Kaedah pertama ialah kita kena sentiasa ingat kepada Allah. Ingat yang bagaimana? Zikir adalah satu daripada cara yang boleh melembutkan hati kita.

Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28 bermaksud: “(iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Berzikir ini boleh mententeramkan hati kita. Malah, Nabi sendiri memperkatakan mengenai zikrullah ini. Abdullah bin Busr meriwayatkan Rasulullah ditanya seseorang: “Wahai Rasulullah, banyak syariat Islam saya ketahui. Sekarang, beritahu saya sesuatu yang sentiasa dapat saya lakukan! Kemudian Rasulullah bersabda: “Basahi lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat At Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Jadi, didiklah hati kita dengan kaedah berzikir. Insya-Allah hati akan menjadi tenteram, aman dan sihat. Inilah cara kita menghindari mungkar hati, sekali gus berupaya membina menara hati yang teguh menuju petunjuk Ilahi. Dengan kata lain berzikir itu terapi hati yang paling efektif untuk menzahirkan ketaatan kita kepada Allah.

Hati adalah laluan yang sentiasa diintai syaitan untuk menjerumuskan manusia. Hal ini mesti kita insaf dengan sebenar-benarnya! Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika dia mengingati Allah, dia pun lari daripadanya. Jika dia lupakan Allah, syaitan akan mengunyah hatinya.” (Hadis riwayat Ibnu Abu Dunya). Demikianlah peringatan Nabi kepada kita semua.

Selain berzikir, hati kita seharusnya sentiasa disirami pancaran sinaran al-Quran. Dengan menjadikan amalan membaca al-Quran dan merenung isi kandungannya akan memahat ketaatan yang kukuh kepada Allah. Membaca al-Quran akan menguak tirai hati kita untuk sentiasa ingat dan taat kepada Allah.

Kita jangan jauh daripada al-Quran kerana berbuat demikian akan turut menjauhkan kita daripada Allah. Orang yang membaca al-Quran, merenung maknanya dan mengamalkannya akan hilanglah penyakit hati yang kotor dan berkarat. Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 57 bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Allah dan menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu.”

Ini petua memelihara hati yang Allah berikan kepada kita. Apa yang penting ialah kita janganlah hanya sekadar membacanya saja, tetapi renunglah dengan tirai mata hati yang jernih semua makna yang terkandung di dalam al-Quran itu. Insya-Allah hati kita sentiasa ingat kepada-Nya. Kata Ibnu Mas’ud: “Barangsiapa yang cintakan al-Quran, bererti ia kasihkan Allah dan Rasul-Nya.” Manakala Khabbab bin al-Arrat berkata: “Hampirilah kamu kepada Allah mengikut yang kamu termampu dan ketahuilah kamu sekali-kali tidak akan dapat menghampiri diri kepada-Nya dengan sesuatu yang lebih dicintai-Nya selain daripada kalam-Nya sendiri.’

Ketahuilah, orang yang membaca, mengkaji isi maknanya dan seterusnya mengamalkannya akan meresap ke dalam hatinya serta akan dapat melihat dengan jelas antara kebenaran dan kebatilan malah berupaya membezakannya dengan tepat sebagaimana dia dapat membezakan antara siang dan malam.

Al-Quran adalah penyuluh mata hati, menyedarkan insan bahawa dia hamba yang kerdil di sisi Tuhan. Lantas dengan itu mata hatinya menjadi putih jernih tanpa diselubungi debu karat yang mengotorkan. Demikian hebat al-Quran! Jadikanlah amalan berzikir dan membaca al-Quran teman harian kita membentuk landskap takwim peribadi dalam memimpin hati ke arah yang diredai Allah. Inilah dua ubat penawar hati yang sangat mujarab dalam usaha kita membangunkan empayar hati yang agung.

Ingatlah, hati yang suci bersih itu adalah ‘hati akhirat yang bersalut mahmudah’. Ingatlah juga wahai saudaraku, ‘buruk hati, azab Allah menanti!’. Jadi, jangan biarkan syaitan membalik hati kita. Kita usirnya dengan siraman zikrullah dan bacaan al-Quran. Insya-Allah jiwa tenteram, kehidupan aman.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger

forum kita....

Followers