JOHOR BAHRU – Niat seorang bapa untuk membeli roti kepada anaknya setelah pulang dari kerja tidak kesampaian apabila dia menerima panggilan mengatakan rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Perling dekat Skudai, di sini, malam semalam.
Hamsani Radi, 46 berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam itu disedari anak perempuannya yang ketika itu sedang menonton televisyen.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan singgah sebentar di kedai runcit untuk membeli roti yang dikirim anak saya. Namun belum sempat saya membelinya, saya menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumah saya terbakar.
“Saya bergegas pulang ke rumah kerana risau keadaan anak-anak saya. Ketika itu yang ada di rumah hanyalah mereka bertiga,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berpunca dari bilik hujung yang disedari anak bongsunya ketika menonton televisyen.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan, kami tinggal sehelai sepinggang.
“Dalam rumah ini macam-macam barang yang disimpan musnah, sijil premium BSN, surat beranak, dokumen-dokumen penting dan barang kemas,” katanya.
Katanya, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM40,000.
Hamsani berkata, dia terkejut apabila setelah api berjaya dipadamkan, hanya dua botol air zamzam tidak dijilat api.
“Air zamzam ini disimpan di dalam rumah berhampiran dapur. Saya terkejut apabila semua barang lain di sekitarnya musnah dijilat api kecuali dua botol air zamzam yang hanya renyuk sedikit sahaja,” katanya yang juga merupakan seorang anggota Rela./SH
Posted by tok_aji
No comments:
Post a Comment