Friday, October 22, 2010

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN KEMATIAN MENURUT SUNNAH – Siri 1


بسم الله الرحمن الرحيم

Perlu di sedari dan di fahami bahawa di dalam urusan yang melibatkan kematian terdapat hukum yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk di ikuti dan di patuhi oleh ummat. Ini supaya ummat terhindar dari unsur dan adat jahiliyyah yang sesat dan menyeleweng dari petunjuk serta sunnah Baginda SAW.

Oleh itu menjadi kewajipan atas setiap muslim yang beriman mematuhi dan mengamalkannya apabila berhadapan dengan saat sedemikian. Di antara hukum tersebut ialah:

Pertama: Mengajar syahadah لا إله إلا الله kepada orang yang hampir mati. Ini diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban:

لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ : لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ

Maksudnya: Ajarkanlah orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan لا إله إلا الله (Tiada Tuhan melainkan Allah).

Sekiranya orang yang hampir mati ini telah menyebut syahadah tersebut maka jangan diulang-ulang lagi keatasnya, kecuali jika ia bercakap dengan percakapan lain selepas itu.

Perkara Pertama ini perlu di ambil perhatian yang besar terutama oleh ahli keluarga orang yang hampir mati kerana jaminan syurga telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW bagi sesiapa yang mengakhiri umurnya dengan ucapan syahadah. Ahli keluarga terutamanya janganlah membiarkan walau sesaat pun kecuali hendaklah membisikkan ke telinga orang yang hampir ini dengan kalimah syahadah itu. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ “لا إله إلا الله” دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa yang akhir ucapannya لا إله إلا الله ia dapat masuk syurga.

Kedua: Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ ) bila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:

مَاذَا قَالَ عَبْدِي, فَيَقُوْلُوْنَ: حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ

Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.

Ketiga: Menutup mata si mati. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, Muslim, Al-Baihaqi dari Ummu Salamah RA yang menceritakan perbuatan Nabi Muhammad SAW pada hari kematian Abu Salamah RA, katanya:

دَخَلَ رَسُوْلُ اللهِ(ص) عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ فَأَغْمَضَهُ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الرُّوْحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke atas Abu Salamah dalam keadaan matanya terbuka lalu Nabi SAW menutupnya kemudian bersabda: Sesungguhnya roh apabila di cabut ia di ikuti oleh pandangan mata.

Keempat: Menutup seluruh jasad si mati dengan kain. Ini berdasarkan perkhabaran Aisyah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Baihaqi:

سُِجِّيَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) حِيْنَ مَاتَ بِثَوْبِ حِبَرَةٍ

Maksudnya: Di tutup (mayat) Rasulullah SAW ketika wafat dengan sehelai kain buatan Yaman.

Kelima: Wajib atas keluarga si mati sabar dan redha. Ini kerana kematian orang yang disayangi merupa satu musibah yang termasuk di dalam ujian Allah kepada hamba-hambaNya. Firman Allah di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 35:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Juga lihat Surah Al-Baqarah ayat 155 di atas.

Keenam: Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Al-Baihaqi:

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ: الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Maksudnya: Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.

Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Ketujuh: Segera menyelesaikan hutang si mati dari harta yang ditinggalkan. Perkara ini begitu penting untuk disegerakan kerana mana-mana orang beriman yang mati dengan meninggalkan hutang maka rohnya akan terhalang dari mendapat nikmat. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang beriman tergantung (terhalang dari mendapat nikmat) kerana hutangnya sehingga ditunaikan keatasnya.

Keterangan: Perlu disedari bahawa harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya terikat dengan urutan di bawah ini dari segi penggunaannya, bukan terus difaraidhkan sebagaimana yang difahami oleh masyarakat kita. Urutannya adalah seperti berikut ini:

Digunakan untuk membayar kos pengkebumian
Membayar hutang
Menunaikan wasiat (sekiranya si mati ada berwasiat)
Difaraidhkan kepada ahli waris.
Bersambung dalam Siri ke-2, insyaAllah.

Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri

Daftar Rujukan:
1) Al-Quran dan terjemahannya.
2) Kitab-kitab hadith yang di sebut periwayatannya di atas.
3) Kitab-kitab fiqh yang di sebut pengambilan hujjahnya di atas.
4) Fiqh As-Sunnah, As- Sayyid Sabiq.
5) Ahkam Al-Janaiz, Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

Related posts:

  1. BEBERAPA HUKUM BERKAITAN KEMATIAN MENURUT SUNNAH – Siri 2Kelapan: Berdoa untuk si mati kerana doa ketika keadaan ini...
  2. AMALAN SUNNAH SEBELUM TIDUR – SIRI 2 Samb. dari Siri 1 (6) Tasbih 33 Kali, Tahmid 33...
  3. HUKUM BERAMAL DENGAN HADITH DHO’IEF (LEMAH) Perlu difahami oleh setiap orang-orang Islam bahawa dalam mengerjakan...
  4. TANDA-TANDA MATI BAIK (HUSNUL KHAA-TIMAH) – Bhg. 2 بسم الله الرحمن الرحيم Samb. dari Bhg. 1 Keempatbelas: Mati...
  5. KULIAH HADIS TENTANG KEMATIAN OLEH: USTAZ MOHD.ZAIN MOHD.NOH SA’AT KEMATIAN Dari Al-Bara’ bin ‘Azib...

No comments:

Post a Comment

forum kita....

Followers

There was an error in this gadget
There was an error in this gadget