Kebanyakan kita terlalu takut atau mungkin jahil dengan agama Islam sendiri dan ada masanya berlebih-lebih dalam sesuatu hal sedangkan Nabi sendiri pun tak buat dan ada yang perlu dibuat tapi tidak diberi perhatian pun. Mari kita perhatikan sebahagian kepincangan dalam memahami perkara-perkara asas dalam agama yang masih berlaku dalam masyarakat kita seperti di bawah :
1-Perkataan 'Takwa' itu sendiri ditafsirkan sebagai 'takut'sedangkan perkataan dasarnya adalah 'kuatkan' yang mana membawa maksud kepada menguatkan hati kita kepada Allah ( ingatan ). Kalau pun kita takut, kita nak lari ke mana ? Kita tetap akan kembali kepadaNya juga. Baik kita menyerah kepada-Nya dengan sebenar-benar penyerahan dan itulah Islam. Tuhan mahu kita kasih kepada-Nya sebagaimana Dia sentiasa kasih kepada kita.
2-Perkataan 'sembahyang' juga telah digunapakai sejak sekian lama sedangkan perkataan 'solat' itu sudah cantik dan tepat serta tidak perlu di 'melayukan'. Sembahyang ? Sembah yang mana ? Hasilnya kita tidak faham apa maksud sebenar solat dan kita boleh lihat orang yang didakwa dan kelihatan alim dalam masyarakat dan tidak tinggal 'sembahyang' melakukan perbuatan yang salah di sisi agama. Hanya penat lelah sahaja yang diperolehi sebagaimana yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad S.A.W . Apatah lagi Solat itu tiang agama. Kalau kita tidak tahu tiang tu kayu ke, batu ke, bagaimana kita nak tahu kuat ke tidak.
3-Tiada keikhlasan dalam melaksanakan urusan agama. Antara yang kita boleh lihat :
-Perlukan sebab 'pahala', 'takutkan neraka', 'mahu masuk ke syurga', 'nanti dilaknat malaikat' dan 'untuk murah rezeki' untuk melakukan ibadat. Bila tiba bulan Ramadhan maka akan diedarkan maklumat tentang fadhilat malam-malam Ramadhan; faedah malam pertama sehingga malam yang penghabisan seperti beribadat yang mana pahalanya menyamai pahala para nabi dan rasul. Ianya terlalu dilebih-lebihkan sehingga perlaksanaan ibadah itu hanya berteraskan ganjaran dan bukan sebenar-benar ikhlas kepada Tuhan. Sebagai orang Islam yang telah dewasa, sepatutnya tidak perlu kepada perkara-perkara ini dalam menjalankan ibadah. Kalau bekerja, selalu mahukan gaji yang tinggi dan banyak. Pemahaman terhadap agama pun sepatutnya begitu juga ( perlu ditingkatkan ). Perkara sebegini sebenarnya lebih sesuai kepada kanak-kanak yang belum baligh sebagai galakan kepada mereka.
4-Perkataan 'ibadah' itu sendiri sering dikaitkan dan digambarkan duduk di atas sejadah dengan tasbih di tangan. Betul yang itu adalah ibadah. Tetapi banyak lagi cara untuk beribadah. Pengertian ibadah itu sendiri adalah pengabdian ( sepanjang masa ) di samping ibadah-ibadah khusus, menjalani kehidupan seperti mencari rezeki dan segala perbuatan yang dibolehkan agama berkaitan perkara-perkara keduniaan juga adalah ibadah. Yang penting adalah hati yang sentiasa mengingati Allah dalam menjalani tugas-tugas dan kehidupan seharian.
5-Dalam membicarakan Hukum Allah, ramai yang menganggap itulah Islam dan selalu dikaitkan dengan hukum Hudud. Sedangkan itu sebahagian dari Islam; banyak lagi perkara yang dibicarakan dan maksudnya yang lebih luas.Walaubagaimanapun, bukan bermakna ianya boleh diabaikan. Apa maksud 'Hudud' yang sebenarnya? Apa kata dasarnya ?
6-Orang bukan Islam ( saintis-saintis Barat ) lebih mengkaji Al-Quran berbanding orang Islam itu sendiri sedangkan Al-Quran itu diturunkan kepada orang Islam. Jadi pengetahuan dan kemajuan dalam sains dan teknologi itu Tuhan berikan kepada mereka. Ini kerana Tuhan itu bersifat Maha Adil dan Dia berikan kepada yang rajin berusaha. Al-Quran itu bukan sekadar dibaca dengan tajwid yang betul dan berlagu tetapi perlulah didalami makna yang tersirat dan tersurat.
7-Ilmu sains dan teknologi dikelaskan sebagai ilmu keduniaan ( lebih kebaratan ) dan ada yang diberikan keutamaan berbanding yang satu lagi. Jadilah ianya terasing dengan akhirat ( ukhrawi ) sedangkan semuanya ilmu adalah milik Tuhan. Nabi sendiri pernah menyatakan : Sebaik-baik segala perkara adalah pertengahan. Hasil dari perbuatan tersebut, kita boleh lihat orang Islam sendiri semakin mundur dan ketinggalan. Sepatutnya ini tidak berlaku kepada kaum yang Allah berikan kepadanya mukjizat paling besar ( Al-Quran ).
Jika ada yang melekeh-lekehkan perkara yang kita bincangkan ini atas alasan ' terlalu banyak membicarakan soal perkataan' dan terlalu asas, maka seharusnya ia fikirkan semula. Nabi Adam sendiri diajarkan segala nama-nama sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran. Percakapan kita sendiri juga asalnya dari susunan ayat-ayat dan ayat pula asalnya dari himpunan perkataan-perkataan yang datangnya dari satu perkataan.
Maha Suci Tuhan seluruh alam.
No comments:
Post a Comment