Sunday, March 21, 2010

Cinta Pertama - Kenangan Diari Hidup




Mendapat sebuah persoalan mengenai seorang muslimah akan pertanyaan yang sangat menarik iaitu berkenaan cinta pertama. Katanya Cinta Pertama itu sukar dilupakan dan bagaimana harus diperbuat supaya cinta pertama terhapus dalam ingatan dan membuatkan dirinya dapat setia baik zahir dan batin kepada suami.

Persoalan ini wajar diketengahkan kepada umum bagaimana kaedah untuk kita menghilangkan rasa cinta ?


Cinta yang terhasil dari kasih sayang yang tulus suci dan terhasil dari jalan yang syarak tidak mengapa dibiarkan subur dihati dan tidak mengapa memilikinya kerana Islam ialah agama kasih sayang dan cinta dan fitrah manusia yang bertepatan dengan syariat Islam dan tiada yang lebih indah dalam hidup ini melainkan memenuhi fitrah menurut kehendak dan pertunjuk yang diberikan oleh Allah swt.


“ Sesungguhnya fitrah yang diciptakan Allah dan ditetapkan manusia dengannya (tertakluk kepada fitrah tersebut).” (Surah Ar-Rum :30).

Contoh cinta sebegini ialah cinta yang terhasil dari perhubungan yang syarak seperti cinta kepada ibubapa dan adik-beradik, cinta kepada isteri dan anak-anak. Kasih kepada ahli keluarga lahir dari perhubungan yang syarak, juga demikian cinta kepada wanita yang menjadi isteri lahir dari akad nikah yang syarak.

Cinta dan kasih kepada persahabatan juga terhasil dari syarak tetapi hanya untuk sama jantina adapun cinta dan kasih kepada lain jantina tidak dikira sebagai persahabatan yang syarak.


Seterusnya cinta dan kasih sayang yang wajar dan harus serta bahkan wajib ialah kepada rasulullah, kepada para sahabat dan pejuang-pejuang agama serta ulama. Tidak mengapa cintanya seorang wanita kepada tokoh pejuang agama lelaki misalnya Salahuddin Al-Ayubi atau sesiapa kerana disebabkan faktor agama.

Bila cinta menjadi haram ?

Menjatuhkan haram pada perasaan ialah apabila ianya menimbulkan kerosakan dan kemudharatan dari sebab memiliki perasaan cinta itu. Misalnya cinta kepada seorang wanita sehingga dirinya (lelaki) melakukan pelbagai perkara haram maka ketika itu cinta ini sudah bertukar kepada haram.

Demikian seorang isteri yang pernah memiliki cinta pertama dengan seorang lelaki sebelum suaminya. Sekiranya cinta pertamanya itu tidak menjejaskan kesetiaan, tanggungjawab dan kasih sayangnya kepada suami dan cinta pertama itu hanya dihati dan menjadi kenangan tanpa pernah mengakibatkan apa-apa kekurangan dalam tanggungjawab dan cintanya pada suami sekarang maka tidaklah dirinya berdosa.


Ini kerana Allah tidak membebani manusia dengan sesuatu yang mereka tidak mampu dan perasaan yang dimiliki oleh manusia ialah sesuatu yang manusia tidak ada kuasa mengawalnya sepenuhnya bahkan wanita itu dibenarkan oleh syarak untuk bernikah lagi setelah diceraikan atau setelah suaminya meninggal dunia. Maka tentu sahaja sebagai manusia apatah lagi wanita mesti sekali-sekala terkenang dan membandingkan perihal suami dahulu dan suami sekarang.


Maka hal ini tidaklah berdosa selama tidak mendatangkan kesan nyata atau kesan mudharat kepada dirinya dan tanggungjawab sebagai isteri. Perkara biasa apabila seorang wanita yang pernah bernikah dan bercinta misalnya akan mengenangkan kisah-kisah lama apabila berlaku sesuatu hal yang mengaitkan perkara hari ini dengan kisah dulu yang pernah berlaku.


Manusia sentiasa hidup di dalam sejarah dahulu.

Kerana itu harusnya cinta itu diikat dengan syarak dan Islam kerana apabila seorang wanita itu mengenangkan perihal suami-suaminya yang dahulu maka selama cinta yang pernah terhasil dahulu ialah cinta yang halal maka mengenangkannya juga ialah halal selama ianya tidak membawa mudharat keburukkan.

Tetapi apabila cinta-cinta yang dahulu ialah haram misalnya seorang wanita mengenangkan bagaimana dirinya disetubuhi (dizinai) oleh kekasihnya dibawah pokok Mempelam, di bawah lori, di atas jambatan, di bawah tangga, di dalam kelas dan bilik darjah atau mengenangkan kisah-kisah romantik cintanya dengan tunangnya (bukan suami) yang mana semua perhubungan cinta itu tidak syar'ie (tidak menurut agama) maka hukum mengenang kenangan ini ialah haram pada asalnya lagi dan sudah tentu lebih-lebih lagi haramnya apabila dengan mengenangkan kisah ini akan membuatkan berlakunya mudharat kepada keadaan dirinya yang sekarang ini mungkin sudah bergelar isteri kepada orang lain.

Bagaimana Menghilangkan Cinta ?


Tiada cara yang paling mujarab untuk menghilangkan cinta dan kenangan mengenai cinta melainkan dengan mengantikan cinta yang penuh racun dan luka dengan cinta bahagia dan kenangan baru yang mengembirakan.
Cinta ialah perasaan dan ibarat ubat yang diminum oleh hati dan jiwa maka apabila cinta itu merosakkan dan menderitakan maka bererti ubat itu ialah racun yang meluka.

Maka tentunya cara yang paling sesuai merawati sakit akibat cinta ini ialah dengan memberi ubat baru yang lebih kuat dari ubat lama.

Memberi cinta baru dan kasih sayang yang lebih kuat dari dahulu untuk mengantikan rasa kasih dan rasa cinta yang lalu dengan cinta yang kini dan sekarang. Dimaksudkan dengan memberi cinta baru ialah misalnya seorang wanita yang dahulunya pernah dicintai oleh seorang lelaki dan pernah bercinta misalnya dengan kekasihnya.


Bagaimanakah mahu melupakan kekasihnya setelah kini dia bergelar isteri kepada lelaki lain ? Bagaimana mahu menghasilkan cinta baru yang dapat membuatkan dirinya melupakan kenangan lalu dan bahagia dengan kehidupan kini ?


Jawapannya ialah dengan memberi cinta baru dengan membuka hati dan terus memberi harapan kepada Cinta baru ini dan berusaha melakukan yang terbaik.


Jika dahulu dia pernah dicium oleh kekasihnya maka kini dia harus mencium suaminya dengan ciuman yang lebih manis, romantis dan lebih banyak. Jika dahulu dia pernah diberi hadiah oleh kekasihnya maka kini dia perlu berusaha memberi hadiah kepada suaminya.

Jika dahulu dia pernah berzina dengan kekasihnya maka kini dia harus memberi layanan seks yang halal kepada suaminya dengan lebih hebat dan mantap dari apa yang pernah diberikan kepada lelaki yang bukan suaminya dahulu.

Menguasahakan memberi yang terbaik sebagai menebusi kesalahan lalu dan hal itu dengan izin Allah akan menghasilkan cinta baru dan kasih sayang yang berterusan.

Pun begitu ianya berkait dengan bergantung kepada faktor pasangan itu sendiri. Terkadang si suami yang baru dinikahi tidaklah sebaik pasangan kekasih yang lalu maka hal ini menjadi masalah besar apabila suami kaki bangku bukan kerana tidak tahu bermain bola sebaliknya kerana hanya tahu duduk di bangku menantikan segalanya tersedia tanpa tahu erti membantu atau melayani isteri.

Digelar kaki katil kerana hanya tahu memuaskan diri sendiri tanpa tahu memuaskan hati isteri maka tentunya wanita yang pernah berzina dengan kekasihnya sebagai contoh akan merasai nikmat seks sewaktu berzina dahulu dengan pasangan kekasih lebih nikmat, lebih memuaskan dari menikmati seks dengan suami yang kaku, buntu dan haru biru.

“Sesungguhnya tidaklah mereka itu buta mata mereka tetapi sebaliknya yang buta itu ialah hati mereka” (Al-Hajj : 46).


Demikianlah jadinya fitnah dan kerosakkan apabila syariat dan panduan dari Allah dan rasul diabaikan.

Sangat menyedihkan apabila perkara yang halal itu tidak dinikmati sebaliknya yang haram sering dihargai. Betapa ramai kita mendapat aduan bahawa dengan berzina maka pasangan yang melakukannya lebih merasa puas dan nikmat kerana masing-masing tanpa malu dan segan berusaha mendapat kenikmatan yang terbaik.


Mengilakan dan memelikkan apabila sudah bernikah dan menjadi halal sebaliknya persetubuhan dilakukan sekadarnya dan tidak dihargai seperti dahulu dan mereka yang melakukannya merasa tidak senikmat seperti zina.

Demikianlah Iblis membelit dan menghiasi zina dan maksiat sehingga tampak lazat dan indah di mata manusia yang buta hatinya.


Sebaliknya Islam mengajar nilai kasih sayang dan erti ikatan keagamaan (akad nikah) dalam kehangatan badan dan hubungan dua jasad dalam mencari kenikmatan.

Islam mengajar pasangan sebelum bersama supaya terlebih dahulu membaca doa, bayangkan sunnah menunjuki suami supaya menghembusi ubun-ubun kepala isteri sebelum menidurinya.


Cubalah amalkan, bagaimana isteri tersenyum melihat wajah suami menghembuskan ubun kepalanya, terasa nyaman dan tertib, sebelum melakukannya terlebih dahulu berkucupan dan menghangatkan badan dan kasih dengan sentuhan lalu dilaksanakan dalam satu pakaian dan dibawah lindungan kain yang menutupi kedua-dua badan.

Memastikan kepuasan bagi kedua-dua pasangan, menghormati hak-haknya dan memenuhinya dengan rasa cinta.

“Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu di dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa” (Al-maidah : 2).

Selepas berhubungan Islam mengajarkan bersuci dan membersihkan badan, mengajar supaya melayani isteri dengan baik dan pelbagai lagi panduan dan ajaran yang sekaligus melahirkan sebuah rumahtangga harmoni dan suci.


Nasihat Terakhir


Buat wanita yang mendapat suami yang malang kerana tidak memahami hati mereka, mendapat lelaki yang gagal menghayati dan memahami perasaan dan kehendak jiwa mereka maka perlulah bersabar dan bertaqwa kepada Allah swt kerana dengan taqwa dan kesabaran itu akan membuka jalan kepada pertunjuk dan rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik" (An-Nahl:97).


Kesabaran dan doa serta amalan kebajikan yang dilakukan tidak akan pernah disia-siakan oleh Allah swt. Allah swt sentiasa akan mengantikan kepada hamba-Nya sesuatu yang terbaik dari sisi-Nya yang tidak diketahui dan tidak dapat dibayangkan oleh hamba-Nya.

“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Surah Al-Isra : 15).


“ Mohonlahlah kamu kepada Allah dengan sabar dan solat dan sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk” (Al-baqarah : 45).
Oleh : Ustaz Emran

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger

forum kita....

Followers