Thursday, August 13, 2009

Asri Rabbani 'pergi tak kembali'

kemaskini 4.35pm Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.

NONEMenurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

"Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

NONEMenurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Adik ipar allahyarham Adha Buyong dilaporkan berkata Asri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahzan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau, yang mempunyai enam anak, sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).

NONE

Ustaz Asri sukar dicari ganti

RAKAN artis lain memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim sebaik mendengar berita pemergian penyanyi kumpulan nasyid terkenal itu semalam.

Semua yang hadir melahirkan kesedihan dan kehilangan dengan pemergian Ustaz Asri. Bakat dan kebolehan Ustaz Asri sememangnya sukar dicari ganti.

Nash

Nash sering merujuk kepada Allahyarham untuk mendapatkan nasihat.

"Ustaz Asri merupakan seorang sahabat yang banyak memberi sentuhan rohani kepada semua. Saya tidak nampak sesuatu yang buruk dalam diri beliau baik dari segi pergaulan ataupun tingkah lakunya.

"Saya sering merujuk kepada beliau sekiranya ada perkara yang saya tidak tahu. Beliau sering memberi nasihat dan saya begitu kagum dengan bacaan ayat al-Quran Allahyarham. Keistimewaan yang ada padanya memang tidak ada pada orang lain.

"Beliau adalah seorang yang sentiasa tenang dan senyum walau dalam keadaan apa sekalipun. Semoga rohnya dicucuri rahmat."

Ramli MS

"Kita kehilangan seorang yang boleh dianggap sebagai 'reference'. Kehebatan beliau ketika mengaji memang tidak boleh dipertikaikan dan bakat menyanyi memang sukar dicari diganti.

"Saya mengenali Ustaz Asri sejak dari awal penglibatan beliau lagi, sejak berkenalan saya tidak pernah mendengar beliau bercakap kasar.

"Saya rindu untuk mendengar alunan suara beliau yang merdu."

Mas Omar

"Allahyarham merupakan seorang yang suka bercerita, tidak sombong, ceria dan periang.

"Kalau diminta datang untuk ke suatu majlis, beliau sentiasa sanggup datang untuk memenuhi hasrat tersebut dan tidak akan meminta bayaran.

"Baru semalam saya bercadang untuk membawa kumpulan Rabbani ke Pesta Pulau Pinang, tapi hari ini dikejutkan dengan pemergian beliau."

Nazri (Raihan)

Nazri menyifatkan Ustaz Asri Ustaz Asri dihormati sebagai seorang yang berilmu, warak dan lemah lembut.

"Allah cipta seseorang itu satu sahaja dengan kelebihan tersendiri yang tidak ada pada orang lain. Pemergian beliau merupakan kehilangan yang besar buat kita semua.

"Ustaz Asri dihormati sebagai seorang yang berilmu, warak dan lemah lembut.

"Pemergian beliau mengingatkan kita bahawa ajal seseorang boleh datang pada bila-bila masa sahaja."

Yasin

Yasin membesar dengan lagu-lagu Ustaz Asri.

"Sejak dari kecil saya membesar dengan lagu-lagu Ustaz Asri, siapa yang tidak kenal dengan beliau.

"Baru dua hari lepas saya ada bercakap dengan Allahyarham dan ketika itu beliau tidak sakit dan tiada masalah kesihatan, sebab saya terkejut apabila mendapat tahu mengenai pemergian beliau.

"Ustaz Asri sangat istimewa, saya tidak pernah berjumpa dengan orang yang suka bergaul dengan semua orang."

Amy Search

Amy menyifatkan Allahyarham seorang yang senang didekati dan peramah.

"Saya terkejut dengan pemergian beliau kerana baru pada hari sabtu yang lepas kami sama-sama menyanyi di Klang.

"Saya mula mengenali Ustaz Asri tahun lepas semasa membuat rakaman lagu 'Mentari Merah di Ufuk Timur'. Sejak itu saya rapat dengan beliau.

"Beliau pernah beberapa kali makan dan membuat pelancaran album rabanni di restoran saya.

"Allahyarham merupakan seorang yang senang didekati."

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger

forum kita....

Followers

Blog Archive