Friday, August 14, 2009

Petua Membelai Cinta



Nota: Petua Membelai Cinta yang disampaikan oleh Us.
Ismail Kamus ini popular dan banyak dijadikan rujukan
dan motivasi kehidupan rumahtangga.

INDAHNYA cinta jika bersulam keikhlasan. Moleknya
cinta andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya
bercinta jika berkekalan sampai bila-bila. Namun panas
yang diharapkan sampai ke petang, siapa sangka hujan
turun ditengah hari. Puas sudah membajai cinta, dibumbui
dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya dengan
penuh tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta
disanubari tetap berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai
isteri atau sememangnya si suami tidak pernah mensyukuri?

Datuk Ustaz Ismail Kamus membincangkan: "Perempuan
umpama cermin, mesti cermat dan halus bila berhadapan
dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif,
cepat kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang
sifat wanita. Sebenarnya bukan susah melayan isteri.
Seorang suami yang pandai mengambil hati, memujuk rayu
jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin
bergurau senda, ia sudah cukup dan memadai.

Perhatikan hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah
payah menyediakan makan dan minum disamping menguruskan
rumahtangga, malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah
pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan,
insya'Allah hidup pasangan begini akan rukun damai sampai
bila-bila. Bagaimanapun hal ini merujuk kepada wanita yang
melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan
rumahtangga dan berusaha menceriakannya walaupun si suami
bukan berpangkat besar atau mempunyai wang yang banyak.

Apabila ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip,
ada wang abang sayang, tak ada duit abang melayang
lain pula penyudahnya. Jika yang dicintai itu adalah
wang, yang disayang itu adalah kemewahan, memang
rumahtangga tidak bahagia dan aman kerana yang
diburu adalah wang dan harta. Maka bila ada kedua-duanya
didepan mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan
namun bila semuanya melayang, wanita begini akan berasa
terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya.


Beliau menambah, "Bagaimanapun kalau dikatakan,
peranan wang membeli kasih dan sayang, ia memang berkait
antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar dijadikan
sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan
pasangan membina rumahtangga. Mendapatkan sebuah rumah untuk
keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku
sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah yang melingkari.
Jika mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan kasih
dan sayang, tandanya kita sudah tersilap menafsir. Sepatutnya
utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau
isteri, justeru andai suatu hari kita ditimpa musibah dan
hidup dalam serba kekurangan, tidaklah cepat melatah.
Cuba perhatikan mereka yang tinggal di kampung. Ada
pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak
mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan
sendat dengan kasih dan sayang," jelasnya. Beliau tidak menafikan,
wanita sekarang lebih ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya
membelai cinta sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada orang yang
menguruskan rumahtangga sudah memadai. Golongan begini, malas hendak
memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu melakukan.

Wanita ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah
atau syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam.
Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah
terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan
pendekatan yang betul. Sebaliknya si lelaki yang turut mendengar tetapi
kurang menghayati. Jika terima pun dengan perasaan sombong dan egonya dan
memang sukar mengubah kesilapan.

WANITA - TULANG RUSUK YANG BENGKOK

Walaupun hakikatnya bahtera rumahtangga itu sepatutnya dikemudikan oleh
si suami, namun era kini menyaksikan lebih banyak wanita yang lebih sensitif
mengekalkan kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar,
menelan pahit maung kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang
kadang kala membosankan. Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini
walaupun asalnya daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok.


Nabi bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang
bengkok. Maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia
kekal selama-lamanya. Lantaran itu andai si suami ingin memberi nasihat,
hendaklah secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok itu akan
lurus. Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu
akan mudah patah atau pecah. Misalnya jika isteri pemarah, membebel dan cakap
banyak, si suami anggap sahaja ia cubaan yang amat kecil. Allah berfirman,
"Apa yang kamu tidak suka, itu adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan
perkembangan hari ini, nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula
nampak gayanya banyak yang bengkok, selarnya.

CINTA DAHULU SEBELUM KAHWIN?


Memang ramai yang membincangkan dua perkara ini sama ada cinta dahulu
sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta
lama, selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing
buat perangai. Ada pula sarankan, lepas kahwin baru bercinta, mereka dakwa
pula lepas kahwin baru pecah tembelang pasangan masing-masing. Maknanya,
tidak ada kaedah khusus, ia bergantung kepada jodoh masing-masing, dedahnya.


Beliau menambah, "Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak
kenal tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat
mereka kekal sampai berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu
lebih baik. Sebenarnya itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal
dikampung, pergaulan bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal
dibandar. Jika berlaku pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan
isteri, begitu juga si isteri jika minta cerai pun kemana diri hendak
bawa diri.

Sambungnya lagi, kedamaian hidup berumahtangga mesti dicatur sejak diawal
perkenalan. "Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat pemilihan
pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan
oleh Islam, insya'Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan
tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah
memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa
atau berzakat sahaja yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus
kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada
kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan. Kadang kala perangai lelaki
membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan, jika kita terima daripada
awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah suami atau isteri kita
yang sebenar-benarnya.


LEPAS KAHWIN TERBONGKAR RAHSIA


Ditanya bagaimana mahu membelai cinta seandainya selepas berkahwin baru
terbongkar rahsia keburukan pasangan, beliau mengulas. Memang sukar menelah
kebaikan individu meskipun seseorang itu taat kepada ibadatnya. Pernah suatu
ketika seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia
telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya,
"Apakah engkau kenal lelaki itu?" Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul
mukmimin." Saidina Omar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir
dengannya?" Orang itu jawab, "Tidak pernah," Bertanya lagi Saidina Omar,
"Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab,'Tidak
pernah.' Lantas ditanya Omar lagi, "Macam mana engkau kenal dia? Dijawab
si pemuda. Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik.'
Omar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum
betul kenal kepadanya." Daripada kisah yang diriwayatkan maknanya, sekadar
tengok seseorang sembahyang, berulang alik ke masjid atau membaca al-Quran
belum bererti kita tahu perangai yang sebenar. "Seeloknya ajak dia bermusafir,
baru tahu kedekut atau tidak. Berjiran dengannya, baru tahu perangai peribadi,
dan jika berniaga bersama-samanya baru tahu amanah atau sebaliknya diri
seseorang. Jika sudah kenal hati budinya barulah boleh dia dijadikan kawan
atau saksi. Begitu juga apabila mencari pasangan, selidik dahulu latar belakang
dan nilai peribadinya. Caranya dengan menghantar wakil atau orang tengah yang
boleh diharapkan," sarannya.


Namun tidak dinafikan, apabila suami berubah sikap misalnya tidak lagi mesra
seperti dahulu, tidak mahu bergurau senda apatah lagi memupuk kasih dan sayang,
si isteri akan makan hati dan menderita. Namun jangan sesekali dibiarkan
sehingga meresap kedalam hati dan perasaan yang akhirnya menjadi kebiasaan.
Apabila suami buat perangai, cepat-cepat ditegur. Supaya dia segera sedar yang
perbuatannya itu salah. Jika isteri terlalu sabar dan redha dibimbangi akan meresap
kedalam hati dan menjadi kesedapan kepadanya. Memang kenyataannya apabila menegur
atau melembutkan hati suami, mereka akan lebih keras dan kasar. Gelagat perubahan
ini lebih ketara apabila si suami sudah mula senang sedikit. Balik lewat malam,
bersenang-senang dan makan-makan dengan teman-teman atau pergi berpoya-poya.
Sebab itu dikatakan orang, wang sahaja membawa kebahagiaan tetapi mengheret kepada
kecelakaan. "Cara untuk mengatasi masalah suami yang berubah hati, si isteri
tidak boleh membentak kerana lelaki yang berperangai begini, hatinya sudah keras.
Si isteri mesti menggunakan pendekatan dengan cara yang paling lembut sehingga
mereka sedar.

Tidak dinafikan apabila si isteri berlembut, perangai suami semakin menjadi-jadi.
Bagaimanapun cuba kita fikirkan, kalau membentak akan timbul pula permusuhan
yang berpanjangan. Silap haribulan, si suami memukul atau mendera si isteri.
Diam isteri bukan bererti redha dan bersetuju dengan perangainya cuma sekasar
mana pun lelaki, namun jauh disudut hati pasti mempunyai belas. Kasihan dengan
si isteri yang cukup tenang, sabar dengan perangainya yang buruk," ujarnya.


Tambahnya lagi, "Ada masanya suami mesti disentak dengan perkara-perkara
yang tidak dijangka. Misalnya seorang isteri yang sebelum ini banyak cakap
tiba-tiba mogok. Lepas masak diam, lepas makan diam, hendak tidur pun diam.
Maknanya perangainya berubah menjadi pendiam. Mungkin dengan cara itu dia mampu
meluahkan perasaannya daripada marah tidak tentu pasal kemudian dicop suami,
dia derhaka. "Seperti kisah seorang pemuda yang menyatakan hasrat mahu berkahwin
tetapi dihalang oleh emaknya. Jadi dia mogok, kalau melawan, bimbang menderhaka
kepada orang tua dan dia takut masuk ke dalam api neraka. Lantas dia diam
sahaja sepanjang masa. Tidak makan, tidak minum, tidak tidur, sembahyang
sahaja yang dilakukan. Lama-kelamaan ibunya bertanya, "Engkau sakit ke, asyik
diam aja." Si anak menggelengkan kepala. Oleh sebab emak sayangkan anak,
lantas disuruhnya si anak berkahwin. Barulah si anak bersemangat dan bahagia.
Dalam kes ini si anak terselamat, tidak menderhaka kepada ibunya dan dapat
pula berkahwin," ceritanya.


TEGUR CARA BERHIKMAH

Datuk Ustaz Ismail Kamus menambah, jika sukar atau tidak sampai
hati menegur suami yang buat perangai, gunakan orang tengah. "Memang
susah mencari yang boleh dipercayai tetapi itulah cabaran yang mesti dihadapi.
Bagaimanapun cara penyampaian orang tengah itu biar betul dan kena caranya
sehingga suami tidak menyalahkan si isteri. "Selain memberi nasihat, isteri
hendaklah mohon kepada Allah dan bermunajat kepada-Nya tanpa jemu. Di samping
itu bacalah surah Ali-Imran, ayat 83 yang maksudnya:


"Apakah selain daripada agama Allah mereka cari, dan baginya, menyerahlah
sesiapa yang di langit dan yang di bumi, secara sukarela dan terpaksa dan
kepadanya jua mereka dikembalikan."

"Ayat ini hendaklah dibaca sebanyak 1,000 kali sehari. Apabila hendak
digunakan baca tiga kali dan tiup kepada orang yang berkenaan atau ditiupkan
ke dalam air untuk diminum oleh orang tersebut. Mudah-mudahan, berkat doa
dan air itu akan lembut hatinya." Menjawab persoalan, bagaimana membelai cinta
jika sisuami asyik panas baran beliau menjelaskan. Apabila suami baran,
isteri kena sabar dan redha kerana itulah suami kita. Orang yang baran
sebenarnya ada masalah. Jiwanya sakit tenat dan perlu diubati. Perhatikan di mana
kelemahan suami dan cari punca kenapa dia marah. Kemudian kita cari jalan
supaya dia tidak marah. Umpamanya kalau isteri lambat masak, suami akan marah,
jadi si isteri hendaklah menyegerakan memasak. Ataupun setiap kali balik kerumah,
suami mesti hendak minum, jadi cari jalan cepat-cepat sediakan minuman. Ertinya
kita hendaklah menutup segala punca kemarahan suami dan lama-kelamaan penyakitnya
akan reda.

Kalau dia yang menyalakan api kemarahan, isteri hendaklah mendiam diri.
Jangan sesekali marah kerana marah itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita
tentang kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak, disimbah dengan
air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam
dan baca sebanyak 1,000 kali. Tiup kepada ubun-ubun atau mukanya sehingga
kepusat sebanyak tiga kali. Insya-Allah akan lembut hatinya. Antara maksudnya :

"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau
mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan).
Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
Tuhan yang Pemurah berkuasa diatas singgahsana. KepunyaanNya apa yang ada
dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-dua nya dan apa
yang ada di bawah tanah."

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menegur sesiapa sahaja yang
masih mengabaikan rumahtangga sebaliknya hanya mahu berseronok dan
berserakah, hendaklah segera bertaubat. Nabi bersabda, Barang siapa yang
telah melampaui usia 40 tahun namun kebaikannya tidak mengatasi kejahatan,
hendaklah dia bersiap sedia untuk masuk kedalam api neraka." Na'uzubillah.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger

forum kita....

Followers

Blog Archive