Saturday, August 22, 2009

Mekah dan kelebihannya


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI



Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 96 yang bermaksud: Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia..

Berkenaan dengan nama Bakkah itu sendiri ada dua pendapat:

l Diambil daripada kesibukan kerana sibuk orang ramai ketika tawaf.

l Dinamakan Bakkah kerana tempat tersebut telah menundukkan leher-leher orang yang takbur apabila mereka melakukan dengan kezaliman pasti dibalas dengan segera.

Nama-nama Mekah

Uniknya kota suci Mekah mempunyai banyak nama sebagai lambang kemuliaannya. Justeru, Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: "Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan, sebagaimana banyaknya nama Allah SWT dan nama Rasul-Nya.

"Kita tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain daripada Mekah dan Madinah, kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik bumi. Disebabkan kerana banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya".

Suka dinyatakan di sini beberapa nama bagi kota Mekah yang masyhur. Antaranya:

i. Mekah. Mekah ertinya membinasakan atau mengurangkan. Dinamakan Mekah kerana Tanah Haram Mekah seluruhnya, kerana Mekah mengurangkan atau menghapuskan dosa orang yang datang kepadanya, atau membinasakan orang yang melakukan kezaliman di Mekah, atau kerana Mekah menghapuskan pemerintah yang zalim dan menundukkan kesombongan mereka.

Dikatakan kerana Mekah menarik ramai manusia datang kepadanya, juga kerana sedikit air yang terdapat padanya.

ii. Bakkah. Bakkah ertinya memecah, mencarik atau menunduk seperti yang telah dinyatakan di atas.

iii. Ummu al-Qura. Penamaan Ummu al-Qura membawa maksud ibu kampung atau kota kerana tempat tumpuan manusia. Di samping menjadi kiblat dan terdapatnya Kaabah al-Musyarrafah sejak sekian lama.

iv. Al-Balad dan Al-Baldah.. Al-Balad membawa maksud negeri iaitu kota Mekah itu sendiri.

v. Al-Baladu al-Amin. Ia bermaksud negeri yang aman. Mereka yang masuk pasti mendapat keamanan. Al-Maraghi berkata: "Mekah yang dimuliakan Allah dengan adanya Kaabah".

vi. Haraman Amina. Maksudnya ialah Tanam Haram yang aman. Ini terbukti, kota Mekah sememangnya telah menjadi negeri yang aman sejak dahulu lagi.

vii. Al-Qaryah. Maksudnya ialah negeri atau kampung. Negeri yang dimaksudkan ialah Mekah.

Sheikh Badruddin al-Zarkashi Rahimahullah menyebut sebanyak 30 nama bagi kota Mekah. Jelas di sini menunjukkan betapa prihatinnya ulama berkenaan dengan kelebihan dan keistimewaan kota Mekah.

Fadilat Mekah dan keistimewaannya

Mekah mempunyai banyak keistimewaan dan fadilatnya.

Pertama: Dajjal tidak boleh memasuki kota Mekah. Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari.

Kedua: Tawaf mempunyai banyak kelebihan dengan dihapuskan segala kesalahan dengan diberi kebajikan seperti riwayat al-Tirmidzi. Begitu juga, orang yang tawaf dan solat serta memandang Kaabah mendapat banyak rahmat.

Ketiga: Kelebihan solat di Masjid al-Haram setara dengan seratus ribu di masjid yang lain seperti riwayat Ahmad.

Keempat: Mekah merupakan sebaik-baik tempat di muka bumi berdasarkan hadis riwayat al-Tirmidzi.

Kelima: Terdapat banyak tempat yang mustajab doa di Mekah seperti di belakang maqam Ibrahim, di antara dua rukun Hajar al-Aswad dan Yamani, dalam Hijr Ismail, Arafah, Mina, Mudzlifah dan banyak lagi.

Keenam: Air zamzam yang mempunyai kelebihan yang tersendiri dan dapat menyembuhkan penyakit serta ditunaikan hajat dengan izin Allah SWT. Dan lain-lain lagi.

Penutup

Mekah mempunyai seribu satu macam kelebihan, keistimewaan dan keberkatan. Justeru, bagi yang menjadi dhuyuf al-rahmah (tetamu Allah) hendaklah mengambil kesempatan ketika berada di kota Mekah untuk mempelbagaikan aktiviti ibadat kepada Allah SWT. Semoga mendapat haji yang mabrur. Amin.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger

forum kita....

Followers

Blog Archive